Monday, April 21, 2008

Salam Perkenalan

Salam,

Mak Kecik memang suka menulis (dan berceloteh). Beberapa tahun dulu, Mak Kecik ada terbaca kenyataan Raja Azmi, penulis novel Cinta 200 Ela. Beliau telah ditanya tentang pengalaman beliau dalam bidang penulisan yang dijadikan bekal untuk menjadi penulis novel. Kata Raja Azmi, guru-gurunya di sekolah menengah selalu memuji karangan beliau. Secara jujur, tidak terdetik pula hati ini untuk membeli novel beliau. Filem Cinta 200 Ela yang dilakonkan oleh Rashid Sidek pun Mak Kecik tidak tontoni, maka tidaklah dapat Mak Kecik nilai hasil tangan Raja Azmi. Apa pun keberanian beliau membuat Mak Kecik berfikir, kalau Raja Azmi boleh, Mak Kecik pun boleh! Karangan Mak Kecik terutama karangan dalam Bahasa Inggeris pun selalu juga dipuji guru. Pernah juga buku karangan Mak Kecik diedar di Tingkatan 5 oleh guru sebagai contoh karangan yang bermutu. Aah...kiranya layaklah diri ini untuk menjadi penulis...hatta penulis blog.

Sebelum ini, bila berkelapangan, Mak Kecik suka membuat posting atau memberi balasan kepada posting-posting di e-group yang Mak Kecik langgani. Baru-baru ini, Mak Kecik tersedar yang salah satu e-group itu tidak tersenarai di side-bar. Gerak hati yang pertama, 'Alamak, I've been barred!' Kebetulan sebelum itu, Mak Kecik memang aktif membuat posting yang berbau politik. Tapi kata kawan, ' No, you're not barred bcos I'm still receiving.' Mungkin tidak . Mak Kecik pun tak techno-savvy dan memang tak berusaha pun untuk mencari alasan untuk technical glitches ini. Dari episod itulah, Mak Kecik memikirkan ada baiknya jika Mak Kecik ada blog sendiri. Mak Kecik boleh tulis apa yang Mak Kecik mahu tanpa perlu memikirkan kekangan-kekangan yang diwujudkan para moderator. Kawan-kawan yang berminat mengikuti celoteh Mak Kecik, boleh melawat dan berinteraksi di blog ini. Meminjam kata Pak Lah, 'Boleh syok-syok sendiri.' Walau bagaimanapun Mak Kecik berharap akan ada manfaat yang timbul dari usaha 'syok-syok sendiri' ini kepada diri Mak Kecik dan mereka yang meluangkan masa untuk membaca gebang Mak Kecik.