Tuesday, July 15, 2008

WAK WAHID

Salam,

Pagi ini, Mak Kecik ada temujanji dengan Wak Wahid. Wak Wahid adalah seorang tukang masak. Mak Kecik tak pernah bersemuka dengannya walaupun sekali sebulan dia menyediakan makanan bagi pihak Mak Kecik untuk jemaah yang menghadiri kuliah Maghrib di markas Mak Kecik. Aturan ini telah bertahun berjalan. Mak Kecik tak perlu bersua muka dengannya kerana segalanya diatur oleh biras Mak Kecik.

Kali ini Mak Kecik perlu menemuinya kerana Mak Kecik telah diamanahkan dengan tugas mengendalikan jamuan dan bekalan makanan untuk program yang melibatkan masyarakat setempat. Ada belanjawan yang perlu dipatuhi. Ada jawatankuasa yang meneliti setiap perancangan dan laporan Mak Kecik. Justeru tidak boleh sembrono.

Malangnya Wak Wahid telah terikat dengan sebuah kenduri kawin pada tarikh yang sama. Dalam pada itu, dia tetap mahu membantu.

‘Aku boleh tolong kotakkan makanan untuk petugas kalau kau mahu.’

‘Menunya macam mana?’

‘Macam yang Hajjah tulis ni lah. Aku bagi kau nasi minyak, ayam masak merah, daging, acar mentah. Pukul 12 kau suruh orang datang ambil.’

‘Harganya macam mana?’

‘4 ringgit sekepala sudahlah.’

Mak Kecik dan biras saling memandang. Malam sebelumnya kami dah berbincang dengan seorang jiran yang juga seorang caterer. Untuk berlaku adil, Mak Kecik memang minta dia sebut harga pasaran. Untuk sebungkus nasi putih campur sayur dan 1 lauk, dia meletakkan 6 ringgit.

‘Murah ni Wak. Ada untung ke?’

‘Eh, ada tapi sikitlah.’

‘Berbaloi ke?’

‘Macam inilah. Aku pandang semua orang dalam kampung ini bukannya jiran tapi saudara aku. Aku tak mampu nak beri 1000 ringgit setiap kali ada kenduri kawin. Nak beri 200 ringgit pun, banyak manalah yang aku mampu. Inilah cara aku menyumbang. Untung sikit tapi biarlah berkat. Yang mustahak, orang ikhlas bayar kat aku. Dan aku nampak duit tu lekat pada anak cucu aku.’

‘Banyak pahala Wak dapat.’

‘Aku ni orang tak berparti. Orang BN minta tolong aku masak, aku masak. PAS minta, aku masak. PKR minta, pun aku masak. Masa aku berpolitik cuma satu, waktu aku dalam bilik mengundi. Jam tu, aku pangkah mana yang aku sokong. Itu hak aku, jangan siapa tanya.’

Selama ini kami memang labelkan Wak Wahid ini pengundi ‘atas pagar’. Yang nyata dia adalah seorang pemerhati dan pemikir.

‘Wak, tak hendak jadi Tok Empat ke?’

‘Kalau dulu-dulu, mahu.’

‘Kenapa dulu mahu, sekarang tak mahu?’

‘Dulu, kalau ada orang baru masuk kampung, jumpa Tok Empat minta tanah, setiap 4 ekar, seekar dapat ke Tok Empat. Sekarang ni mana ada lagi tanah. Tanah rezab pun tak ada. Tapi aku heran juga. Mengapa dulu orang UMNO berebut-rebut nak jadi Tok Empat. Sekarang ini orang PAS, PKR berebut-rebut tolak jawatan. Apa lebihnya Tok Empat dulu, apa kurangnya Tok Empat sekarang? Itu mahu dipikir juga.’

Kami, Mak Kecik dan biras, tidak pula mendesak untuk mengetahui kesimpulannya tetapi Mak Kecik cukup kagum dengan prinsip hidupnya. Patutlah setiap kali dia memasak untuk Mak Kecik, tak kiralah untuk 50 orang atau 200 orang, dia hanya mark up RM 50 ke atas kos bahan mentah.

‘Itu untuk lelah aku laki bini dan duit gas.’

Dalam senario negara yang malap sekarang ini, rupanya masih ada cahaya kemanusiaan terpancar dari seorang tukang masak. Bakal-bakal Perdana Menteri, bagaimana pula?