Tuesday, August 5, 2008

MICHAELA BALLACK

Salam,

Hari ini Mak Kecik ingin berkongsi masalah.

Mak Kecik ada seekor kucing betina berusia lebih kurang 6 tahun. Ia dilahirkan pada musim Piala Dunia tahun 2002. Oleh itu ia dinamakan Michael Ballack, mengambil sempena nama pemain tersohor German. Apabila Mak Kecik diberitahu yang Ballack itu betina, maka namanya ditukar menjadi Michaela Ballack. Walau bagaimanapun, amat jarang sekali kami memanggilnya dengan nama pertama..

Dalam banyak-banyak kucing kami, Ballack adalah yang paling produktif. Melaluinya banyak perkara mengenai kucing yang Mak Kecik belajar.

Pada zaman mudanya, Ballack melahirkan anak sebanyak 3 atau 4 ekor setiap kali ia melahirkan. Ia memang ibu yang penyayang dan fitrahnya sebagai pelindung memang nyata. Pantang diusik anak-anaknya, ia akan mengalihkan mereka ke tempat lain. Apabila usianya meningkat, beberapa insiden yang kadang-kala menyayat hati. Misalnya apabila ada anaknya yang mati, ia akan mengiau-ngiau mencari anaknya di sekitar tempat di mana ia meletakkan anaknya seolah-olah ia lupa yang anaknya telah mati. Ada sekali kami berjumpa dengan tangan dan kaki anak kucing yang baru dilahirkan dan kami syak Ballack sendiri yang memakan anaknya. Mungkin kerana ia terlalu lemah dan untuk terus hidup naluri kehaiwanannya mendorong ia untuk berbuat demikian. Insiden itu menyebabkan kami menjadi cemburu terhadapnya. Kami lebih mengawasinya dan lebih menjaga makan minumnya sewaktu ia dalam ‘pantang’.

Akhir-akhir ini Ballack menjadi kurang cakna kepada anak-anaknya walaupun yang belum lepas dari susuan. Pak Cik menyuruh Mak Kecik menghantarnya ke klinik haiwan untuk dikasi. Mak Kecik sedar ada fatwa yang mengharuskan tetapi Mak Kecik tak sampai hati. Sekiranya ia masih boleh beranak, biarlah ia membiak. Setakat ini insya Allah, kami masih mampu menjaga makan minumnya.

Sekarang ini Ballack mempunyai 2 ekor anak kecil dari 2 kelahiran. Bettina Ashley Bella dilahirkan pada musim pilihanraya yang lalu. Nama asalnya ialah Ashley kerana bulunya yang berwarna kelabu. Namanya berubah menjadi lebih panjang setiap kali anak-anak Mak Kecik balik dari asrama. Kebetulan ketika itu kami tidak mempunyai ‘baby’ jadi semua anak Mak Kecik mahu menjadi tuan kucing.

Apabila Ballack hamil semula, ia menjadi garang. Ashley yang masih mahu menyusu, ditampar apabila cuba untuk menyunyut. Nasib baik ketika itu Ashley sudah agak besar dan mudah saja ia diajar untuk minum dari piring.

Anak Ballack yang paling kecil ketika ini berusia lebih kurang 4 minggu. Ia dinamakan Holland kerana bulunya yang oren. Nasib Holland lebih malang daripada Ashley. Runtunan hormon betina menyebabkan Ballack kini lebih suka meninggalkan rumah mencari jantan dari membelai anaknya. Dua hari lepas dia menghilang. Holland riuh menangis. Pantang mendengar suara dan tapak kaki orang, dia akan datang mengejar. Mahu tidak mahu, terpaksalah Mak Kecik suapkan susu dengan picagari. Hari ini Ballack hilang lagi. Terlintas di kepala untuk membuat carian di Google mengenai cara menjaga ‘abandoned kitten’. Alhamdulillah, banyak rupanya artikel yang memberi nasihat.

Selepas mengambil anak-anak di sekolah, Pak Cik terus menuju ke klinik haiwan. Mak Kecik kerap juga ke klinik ini membawa kucing-kucing yang perlukan rawatan tetapi tak pernah perasan akan susunan formula susu anak kucing di rak berhampiran kaunter juruwang. Boleh tahan juga harganya! RM 18.90 untuk 250g bagi formula biasa sementara formula khusus untuk anak kucing baru lahir berharga RM 40 lebih. Sebelum ini, Mak Kecik selalu terkata-kata dalam hati, siapalah yang nak beli toy kat sini. ‘Toy’ yang Mak Kecik maksudkan ialah set botol susu yang memang comel. Petang tadi Mak Kecik beli satu set! Setiap set mengandungi sebiji botol, 2 biji puting, sebuah corong dan sebatang berus botol.

Sampai di rumah, sibuk kami anak beranak menebuk lubang pada puting dan merebus botol, semua pekerjaan yang telah lama Mak Kecik tinggalkan. Sambil menonton berita jam lapan tadi, Holland Mak Kecik susukan. Alhamdulillah, dia sukakan rasa susu gantiannya dansudah pandai dan selesa menghisap puting.

Sekarang jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Ballack masih lagi belum pulang. Nampak gayanya Mak Kecik kena tunggu untuk midnight feed ‘baby’ kami.