Showing posts with label aurat. Show all posts
Showing posts with label aurat. Show all posts

Thursday, May 22, 2008

Putih tapi tak suci

PKPIM cadang kerajaan rombak sistem pemakaian pelajar perempuan
Nyza Ayob
Thu | May 22, 08 | 2:18:43 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar merombak semula sistem pemakaian pelajar perempuan di sekolah rendah dan menengah.

Menurut Naib Presiden HEWI, PKPIM, Munirah Bahari cadangan agar Kementerian Pelajaran membuat rombakan ke atas pakaian seragam sekolah pelajar perempuan yang berwarna putih itu demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam.

Jelasnya penukaran warna baju tersebut nampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

Katanyanya, PKPIM melihat konsep menutup aurat itu penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat Islam terutama yang melibatkan muslimah. Tambahan pula pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

"Akhir-akhir ini kita sering disajikan dengan kes sosial, rogol, gangguan seksual mahupun hubungan seks sebelum perkahwinan yang melibatkan remaja wanita belasan tahun. Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah.

"Implikasi daripada kejadian ini maka berlakulah kelahiran bayi luar nikah, pembuangan bayi mahupun pelacuran. Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak," katanya, dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun katanya, masih terdapat pihak yang memandang sambil lewa hal ini. Jelasnya, pemakaian baju sekolah berwarna putih itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Pakaian merupakan cerminan akhlak seseorang muslim dan Islam sangat menitik beratkan perihal pakaian menurut Islam. Baju berwarna putih tersebut sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ. Lebih-lebih lagi ia akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan terjadinya perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya. Hakikatnya, kita tidak mahu perkara sebegini berlaku di negara kita," katanya.

Beliau menegaskan seharusnya remaja perempuan perlu bersifat 'assertif' terhadap sesuatu perbuatan yang mencabuli kehormatan mereka. Katanya, apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa sahaja oleh sesiapa.

Sehubungan itu beliau mengharapkan penilaian terhadap baju sekolah pelajar perempuan perlu dilakukan oleh Kementerian Pelajaran secepat mungkin.

"Jika Kementerian Pelajaran ingin mengekalkan warna putih tersebut, PKPIM mencadangkan agar pelajar perempuan diwajibkan untuk memakai singlet dalam ataupun tudung labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat. Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini,"

***

Berita di atas Mak Kecik ambil dari Harakahdaily.

Apabila membacanya, teringat kepada Mrs. Lim yang mengajar Mak Kecik mata pelajaran Matematik Tingkatan 3 di STF dulu. Mrs. Lim cukup tidak bersetuju dengan baju kurung putih sebagai pakaian seragam sekolah. Dia tidak pernah bercakap tentang ke'jarang'an kain putih tetapi 'the neckline is not at all suitable. Very sexy.'

Di STF, pelajarnya semua perempuan dan bilangan guru-guru lelaki boleh dikira dengan jari. Pengetua kami memang tegas dalam soal berpakaian. Spot check untuk memeriksa ketinggian paras skirt dari lutut adalah sesuatu yang biasa. Sekarang Mak Kecik tahu bahawa pemakaian 'camisole' atau baju dalam adalah diwajibkan untuk pelajar-pelajar yang memilih untuk mengenakan baju kurung. Yang ini Mak Kecik tak berapa ingat tetapi pemakaian butang baju kurung adalah wajib.

Sudah pasti ada yang tidak bersetuju dengan pendirian 'jumud' PKPIM. Mak Kecik nak berkongsi satu cerita. Beberapa tahun dulu, Mak Kecik ke Pendang untuk mengikuti pilihanraya kecil di sana. Pada hari penamaan calon, hujan turun dengan lebatnya. Mahu tidak mahu, penyokong-penyokong kedua-dua parti yang bertanding iaitu PAS dan UMNO/BN terpaksa bertahan di dalam hujan untuk memberi sokongan kepada calon masing-masing. Penyokong lelaki tidak bermasalah kerana mereka tidak mempunyai apa-apa yang perlu dilindungi. Berlainan dengan penyokong perempuan. Dalam keadaan ini, muslimat PAS mempunyai kelebihan kerana mereka mengenakan jubah yang tebal, berwarna gelap dan bertudung labuh. Yang paling bermasalah ialah Wanita UMNO yang berkurung putih. Bila basah, baju putih menjadi jarang dan melekap kepada badan. Tudung Wanita UMNO setakat menutup kepala tetapi tidak menutup aurat. Maka dalam keadaan itu, semua ada, yang seksi dan yang seksa.

Monday, May 5, 2008

Usul Pakaian Atlet

Semua orang sedia maklum akan aurat lelaki dan wanita Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith sahih. Semua orang juga tahu tentang kod berpakaian untuk kebanyakan sukan moden yang boleh dikelaskan dalam terma syari’ah Islam sebagai memalukan dan menjolok mata. Peserta-peserta sukan renang dan acara padang memakai pakaian-pakaian yang mendedahkan sebahagian besar tubuh. Mendedahkan tubuh bukan sahaja berdosa kepada ahli sukan tersebut tetapi ianya juga menyebabkan jutaan manusia melakukan zina mata.

Peminat-peminat sukan terutamanya beragama Islam yang mengikuti perkembangan sukan sama ada secara langsung di gelanggang-gelanggang sukan atau melalui siaran televisyen terdedah kepada gejala di mana mereka menjadi tidak peka kepada prinsip-prinsip Islam.

Bayangkan seseorang yang tidak pernah terdedah kepada perkara-perkara yang haram, tiba-tiba mengalaminya. Pada awalnya ia mungkin terkejut dan berasa jijik tetapi pendedahan yang berterusan akan melemahkan perasaan ini. Dia seterusnya akan merasakan ini sebagai sesuatu yang normal dan sebahagian dari perlakuan yang boleh diterima. Lebih teruk lagi, dia tidak merasa terhalang untuk turut melakukannya.

Satu lagi faktor penyumbang kepada umat Islam menjadi tidak sensitif kepada perkara ini ialah keadaan minda penonton-penonton sukan. Pada masa itu mereka berada dalam keadaan ‘relax’ dan santai. Di bawah sedar, imej-imej ini menyelinap masuk ke otak kita dan bersarang di situ. Jika proses ini boleh berlaku kepada orang dewasa yang sudah mumayyiz dan mukallaf, bayangkan kesannya kepada anak-anak yang masih pada peringkat menyerap tanpa memikir.

Di Malaysia, badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan ialah Majlis Sukan Negara (MSN). Tugas MSN ialah mengambil langkah yang perlu untuk mencapai kecemerlangan SUKAN hingga ke tahap tertinggi sekali, dengan semangat kesukanan yang tulen, di pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta dengan harapan mempertingkatkan lagi muhibah dan imej Negara. Matlamat ini mahu dicapai melalui gabungan 5 teras utama iaitu:

KEPIMPINAN KERAJAAN,

KESUKARELAAN PERSATUAN SUKAN,

TANGGUNGJAWAB SOSIAL SEKTOR SWASTA,

MINAT DAN PENGHAYATAN MASYARAKAT

KOMITMEN ATLET

MSN juga mempunyai Unit Dakwahnya sendiri yang berslogankan KEKUATAN RUHIYAH DICAPAI, KILAUAN PINGAT DIGAPAI. Matlamat unit ini ialah untuk membangun jati diri di kalangan atlet dan warga kerja melalui pendekatan aqidah dan kekuatan kerohanian yang berterusan untuk melahirkan generasi atlet dan warga kerja yang mantap dari sudut ilmu, iltizam dalam pengamalan, berilmu, berakhlak mulia dan seimbang dari segi rohani dan jasmani.

Dengan itu saya mengusulkan supaya kepimpinan kerajaan agar memandang berat tentang kod berpakaian para atlet terutama di peringkat negeri, negara dan antarabangsa terutamanya para atlet yang berugama Islam, paling tidak mereka ini diberi kelonggaran untuk menggunakan pakaian sukan yang menepati tuntutan Islam.