Monday, May 5, 2008

Usul Pakaian Atlet

Semua orang sedia maklum akan aurat lelaki dan wanita Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith sahih. Semua orang juga tahu tentang kod berpakaian untuk kebanyakan sukan moden yang boleh dikelaskan dalam terma syari’ah Islam sebagai memalukan dan menjolok mata. Peserta-peserta sukan renang dan acara padang memakai pakaian-pakaian yang mendedahkan sebahagian besar tubuh. Mendedahkan tubuh bukan sahaja berdosa kepada ahli sukan tersebut tetapi ianya juga menyebabkan jutaan manusia melakukan zina mata.

Peminat-peminat sukan terutamanya beragama Islam yang mengikuti perkembangan sukan sama ada secara langsung di gelanggang-gelanggang sukan atau melalui siaran televisyen terdedah kepada gejala di mana mereka menjadi tidak peka kepada prinsip-prinsip Islam.

Bayangkan seseorang yang tidak pernah terdedah kepada perkara-perkara yang haram, tiba-tiba mengalaminya. Pada awalnya ia mungkin terkejut dan berasa jijik tetapi pendedahan yang berterusan akan melemahkan perasaan ini. Dia seterusnya akan merasakan ini sebagai sesuatu yang normal dan sebahagian dari perlakuan yang boleh diterima. Lebih teruk lagi, dia tidak merasa terhalang untuk turut melakukannya.

Satu lagi faktor penyumbang kepada umat Islam menjadi tidak sensitif kepada perkara ini ialah keadaan minda penonton-penonton sukan. Pada masa itu mereka berada dalam keadaan ‘relax’ dan santai. Di bawah sedar, imej-imej ini menyelinap masuk ke otak kita dan bersarang di situ. Jika proses ini boleh berlaku kepada orang dewasa yang sudah mumayyiz dan mukallaf, bayangkan kesannya kepada anak-anak yang masih pada peringkat menyerap tanpa memikir.

Di Malaysia, badan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan sukan ialah Majlis Sukan Negara (MSN). Tugas MSN ialah mengambil langkah yang perlu untuk mencapai kecemerlangan SUKAN hingga ke tahap tertinggi sekali, dengan semangat kesukanan yang tulen, di pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta dengan harapan mempertingkatkan lagi muhibah dan imej Negara. Matlamat ini mahu dicapai melalui gabungan 5 teras utama iaitu:

KEPIMPINAN KERAJAAN,

KESUKARELAAN PERSATUAN SUKAN,

TANGGUNGJAWAB SOSIAL SEKTOR SWASTA,

MINAT DAN PENGHAYATAN MASYARAKAT

KOMITMEN ATLET

MSN juga mempunyai Unit Dakwahnya sendiri yang berslogankan KEKUATAN RUHIYAH DICAPAI, KILAUAN PINGAT DIGAPAI. Matlamat unit ini ialah untuk membangun jati diri di kalangan atlet dan warga kerja melalui pendekatan aqidah dan kekuatan kerohanian yang berterusan untuk melahirkan generasi atlet dan warga kerja yang mantap dari sudut ilmu, iltizam dalam pengamalan, berilmu, berakhlak mulia dan seimbang dari segi rohani dan jasmani.

Dengan itu saya mengusulkan supaya kepimpinan kerajaan agar memandang berat tentang kod berpakaian para atlet terutama di peringkat negeri, negara dan antarabangsa terutamanya para atlet yang berugama Islam, paling tidak mereka ini diberi kelonggaran untuk menggunakan pakaian sukan yang menepati tuntutan Islam.

No comments: