Thursday, June 12, 2008

Pengurangan elaun keraian sebanyak 10%: Setakat itu saja?

Salam,

Berita ini Mak Kecik petik dari Utusan Online

Elaun keraian menteri, timbalan dikurangkan 10 peratus

PUTRAJAYA 9 Jun – Elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dikurangkan sebanyak 10 peratus bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan ekoran kenaikan harga petrol dan diesel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, pengurangan elaun itu akan bermula 1 Julai ini.

“Kerajaan turut merasai keperitan rakyat dan merasakan pucuk pimpinan hendaklah menunjukkan teladan yang baik dalam menghadapi cabaran ini,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Membanteras Inflasi di pejabatnya di sini hari ini.

Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tugas rasmi menteri-menteri ke luar negara juga akan dihadkan kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa.

Katanya, untuk tugasan itu, menteri hanya layak diiringi tiga orang pegawai kementerian, manakala timbalan menteri hanya dibenarkan membawa tiga orang pegawai.

“Pegawai yang hadir hendaklah terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ketua Setiausaha Kementerian tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara kecuali bagi mesyuarat berjadual tertentu,” katanya.

***
Adakah maklumat ini benar dan masih terpakai?

***

Pakcik menyertai sebuah firma guaman sebagai rakan kongsi dalam tahun 1985. Kami bernikah pada tahun 1986. Sebelum itu, Mak Kecik tak pernah kisah pun tentang gaji atau apa-apa manfaat yang diterimanya. Selepas kawin, baru Mak Kecik tahu yang selain dari gaji, Pakcik juga diberi saraan minyak kereta dan telefon.

Selepas beberapa bulan kawin, Pakcik beritahu Mak Kecik yang dia tidak lagi memberikan bil bulanan telefon kepada pejabat kerana kebanyakan panggilan yang dibuat dari rumah adalah panggilan peribadi. Mak Kecik tak bekerja, duduk di rumah, masa tu telefon bimbit pun baru generasi pertama, memanglah Mak Kecik yang menggunakan telefon di rumah. Pakcik pula di awal perkahwinan, keluar pagi, balik malam. Ada juga dia membuat panggilan ke luar negara yang tidak sama zon waktu dengan Malaysia tetapi jarang-jarang sangat. Kata Pakcik, bil telefon kamilah yang paling tinggi, lebih kurang RM200 sebulan. Apa nak dihairankan sebab isteri rakan-rakan kongsinya yang lain semuanya bekerja. Mana ada masa nak chit-chat macam Mak Kecik.

Mak Kecik hanya membuat panggilan kepada adik beradik. Sekali bercakap, 1 jam memang tak cukup. Sebenarnya Mak Kecik strict dengan perbelanjaan. I operate on the law of averages: sekiranya overshot pada sesuatu bulan, Mak Kecik akan kurangkan pada bulan yang seterusnya supaya perbelanjaan tahunan kekal pada had yang ditetapkan.

Mak Kecik jarang membuat panggilan kepada kawan-kawan kerana mereka bekerja dan Mak Kecik tak mahu mengganggu mereka. Kadang-kadang bila kita call dan mereka terpaksa cut short perbualan disebabkan tugas, kita terasa kecil hati walaupun kita tahu mereka terpaksa. Oleh sebab itu Mak Kecik lebih senang menerima panggilan daripada kawan-kawan.

Rakan-rakan kongsi Pakcik selalu complaint kerana Pakcik kurang menggunakan petrol chit yang disediakan syarikat. Ianya satu kemudahan tetapi ada juga sukarnya kerana petrol chit itu hanya boleh digunakan di satu stesen petrol sahaja. Pakcik juga tidak berapa selesa kerana tidak semua perjalanannya atas urusan syarikat. Mak Kecik pun tak tahu bila kemudahan itu diberhentikan.

Syarikat Pakcik ada peruntukan untuk keraian tetapi tidak diberi kepada individu. Mak Kecik pernah tanya tentang had elaun. Kata Pakcik tiada had tetapi ini tidak bermakna mereka boleh berbelanja ikut suka. Setiap perbelanjaan perlu diberi justifikasi.

Mak Kecik rasa perkara yang sama perlu dilakukan oleh Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Berdasarkan amaun yang diberikan di atas, apalah sangat potongan 10%. Macam tahi gigi aje. Lagipun apabila sesuatu itu boleh dipotong, maknanya ia tidak diperlukan. Lebih baik dikekalkan had elaun yang diberi sebagai panduan kelayakan seseorang penjawat awam tetapi setiap perbelanjaan diperincikan dan diperjelaskan. Lebih mudah untuk rakyat membuat audit sama ada elaun itu dipergunakan dengan wajar atau tidak. Sekiranya lebih dari had tetapi perlu, Kerajaan patut membayar. Sekiranya elaun berbaki, masukkan ke dalam mana-mana tabung yang boleh disalurkan kepada rakyat. Kerajaan bertanggung-jawab memberi kemudahan kepada pemimpin-pemimpin dan penjawat awam supaya mereka dapat menjalankan tugas dan tanggung-jawab dengan cekap dan licin. Pada masa yang sama, kemudahan seperti elaun keraian mestilah tidak dilihat sebagai punca pendapatan tambahan. Wallahua'lam.





No comments: