Friday, May 23, 2008

AF6 - Menuju Puncak



Update on Stacy AF6


Update

Stacy telah dinobatkan sebagai Juara AF6. Dia sememangnya layak dan Mak Kecik memang bersetuju dengan komen Ogy ( You are born to be a performer ), juga komen Adlin Aman Ramli ( Kalau kau bagus, memang dari awal kau dah bagus )yang ditujukan kepada peserta lain tetapi tepat untuk satu pertandingan seperti AF6. Jika ada hadiah untuk persembahan terbaik, Mak Kecik akan berikan kepada Nubhan kerana telah berjaya menyampaikan lagu baru 'Ada untukmu' dengan begitu berkesan sekali sampaikan Ogy menitiskan air mata dan Ning merasakan dialah Mumtaz dalam lagu itu.


Salam,


Saluran 104 ASTRO sekarang sedang hangat mempromosi Final Akademi Fantasia 6. Program AF adalah satu-satunya program realiti yang Mak Kecik ikuti dengan setia terutama AF1-AF5. AF6, agak 'kureng' sedikit kerana Mak Kecik tidak bersetuju dengan penyertaan Saida, kakak Siti Norhaliza dan Mama Rina, seorang ibu tunggal yang bercucu 2. Sebagai protes, Mak Kecik langsung tidak mengikuti program itu . Hanya apabila kedua-duanya tersingkir, barulah Mak Kecik duduk di hadapan TV. Mak Kecik tidak faham kenapa pihak Astro melonggarkan syarat umur sedangkan AF itu sendiri bertujuan untuk menggilap bintang pelapis. Bagaimana mahu menjadi pelapis jika peserta tidak boleh menari disebabkan kaki yang sudah sedia sakit ?

Mak Kecik menghargai minat dan bakat dalam sebarang bidang. Bak kata Allahyarham P.Ramlee, 'Kalau kau nak jadi pencuri, jadilah pencuri yang terbaik.' Untuk menjadi yang terbaik, ilmu adalah keperluan utama. Mak Kecik dapati AF adalah sarat dengan ilmu. Latihan-latihan untuk suara, untuk persembahan, untuk komunikasi dll. Mak Kecik sendiri sedikit sebanyak dapat mengutip ilmu yang guru-guru AF ajarkan terutamanya yang berkaitan dengan lontaran suara. Mak Kecik gunakan teknik-teknik ini sewaktu mengajar. Alhamdulillah, ketika awal mengajar murid-murid Darjah 1-3 dulu, Mak Kecik terpaksa gunakan mikrofon sehinggalah Mak Kecik pandai menggunakan diaphragm untuk menghasilkan suara 'dalam'. Pendek kata, kalau Mak Kecik boleh 'menjerit' seperti sekarang, mungkin Mak Keciklah yang jadi Sargeant Persatuan Bulan Sabit Merah di STF dulu dan bukannya Left Marker yang bisu. (Sorry , Zubi dan Radzie!)

Pak Cik memang tak suka musim AF kerana disepanjang musim, atas dasar 'siapa cepat dia dapat', dia tidak dapat menonton saluran-saluran berita . Padanya Mak Kecik membuang masa. Memang Mak Kecik akui AF melalaikan dan seseorang itu boleh ketagih. Hujah balas Mak Kecik ialah bagaimana nak merapati remaja jika kita tidak cuba untuk memahami citarasa mereka. Mak Kecik juga berpendapat adalah tidak adil 'to judge a book by its cover' semata-mata. Oleh kerana Mak Kecik suka menonton AF, anak-anak pun tumpang sekaki tetapi mereka tidak sekali-kali dibenarkan mengundi.

Aspek pergaulan dalam AF memang suatu perkara yang Mak Kecik kurang senangi dan Mak Kecik tidak menyalahkan Astro. Memang jelas kebanyakan pelajar membawa masuk budaya hidup mereka. Ternyata didikan yang mereka terima dari keluarga tidak menitikberatkan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Mawi (AF3), Salima (AF4), Haliza (AF5) dan Faizal(AF6) berusaha untuk mengekalkan jati diri mereka. Apa yang boleh Mak Kecik simpulkan ialah 'minyak dan air tak boleh bercampur'.

Kami sekeluarga memang meminati nyanyian dan lakunan. Tiga anak yang tertua memang dihantar mengikuti kelas muzik. Yang sulung boleh bermain piano dan gitar. Yang kedua boleh bermain piano dan biola. Yang ketiga tamat kelas Yamaha tetapi berhenti setakat piano gred 1 ABRSM. Sewaktu di Tingkatan 3, dia berpeluang merakamkan nasyid untuk kutipan derma Sekolah As-Syakirin. Yang keempat dan kelima tidak mengikuti sebarang kelas muzik formal kerana Mak Kecik berpindah ke kediaman sekarang dan tiada guru muzik yang sudi mengajar di tempat jin bertendang. Anak keempat juga sukakan lagu tetapi kerana sifatnya yang pendiam, Mak Kecik hanya mendengar dia 'humming'. Anak yang kelima adalah salah seorang dari kumpulan Iqra' As-Syakirin yang telah merakamkan album Bijak Iqra' keluaran Inteam Records. VCD mereka mendapat sambutan yang baik terutama di negeri-negeri Pantai Timur.

Anak-anak Mak Kecik berbakat di bidang muzik tetapi minat mereka biasa-biasa saja. Justeru setakat ini tiada konflik yang timbul. Mak Kecik tidak dapat bayangkan bagaimana jika salah seorang daripada mereka berbakat besar dan berminat besar seperti Faizal Tahir, pemenang 4 Anugerah AIM. Mak Kecik kenal ibu bapanya.

Berbalik kepada Final AF6, graf dan undian yang ditunjukkan di Diari AF Ext menunjukkan Stacy mendahului peserta-peserta lain. Stacy memang mempunyai pakej lengkap untuk menjadi penghibur dan mutu persembahannya konsisten. Walau bagaimana pun, atas dasar keperluan, Mak Kecik mungkin memberi undi kepada Toi yang berusia 33 tahun dan telahpun berumahtangga.

Sama-samalah kita tunggu keputusannya.