Saturday, May 17, 2008

SELAMAT HARI GURU

Salam,


Minggu ini penuh dengan sambutan-sambutan. 15 Mei ialah Hari Belia. 16 Mei pula Hari Guru. Tema sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Cemerlang Negara Terbilang. Tadi sewaktu memandu balik dari sekolah, Mak Kecik dengar disebut dalam khutbah Jumaat yang disiarkan di Radio IKIM yang tema sambutan Hari Belia ialah Belia Cemerlang, Negara Terbilang. Mmm…


Mak Kecik tidak menyambut Hari Belia tetapi Hari Guru memanglah suatu hari yang amat dinanti-nantikan, Dahulu sebagai seorang pelajar. Kini sebagai seorang ibu dan juga pentadbir sekolah.

Mak Kecik membuat sedikit penyelidikan mengenai Hari Guru semalam dan amat terperanjat bila mendapati Hari Guru yang pertama diistiharkan pada tahun 1956 iaitu serentak dengan penerimaan Laporan Razak sebagai Dasar Pelajaran Kebangsaan.


Mak Kecik ingat menyanyikan lagu ‘ Si Dia‘ yang dipopularkan Allahyarhamah Rafeah Buang semasa Majlis Penyampaian Hadiah sewaktu dalam Darjah 3 di Sekolah Kebangsaan Teruntum, Kuantan. Mak Kecik juga ingat menyanyikan ‘Where’s your Mama gone’ di hadapan perhimpunan di suatu pagi dalam tahun 1971 sebagai sebahagian dari acara Kempen Berbahasa Inggeris sewaktu di Darjah 6 tetapi Mak Kecik tidak ingat sebarang bentuk sambutan Hari Guru di sekolah itu.


Di STF, Hari Guru disambut dengan meriah. Selalunya sebelah pagi dipenuhi dengan acara mengambil gambar kelas, pasukan sukan dan persatuan untuk majalah sekolah. Mak Kecik masih ingat rungutan guru-guru yang tidak puas hati tetapi siapa yang berani melawan perintah Cik Kalthum? Selepas sesi bergambar ini, barulah diadakan persembahan pentas di Dewan Sekolah dan acara ini memanglah salah satu ‘highlight of the year’. Walaupun pada ketika itu, pelajar-pelajar STF hanya dibenarkan keluar sekali sebulan tetapi sekatan itu tidak pula membantutkan daya kreativiti mereka. Persembahan-persembahan itu sama ada menghiburkan atau melucukan atau kedua-duanya sekali. Kemuncak sambutan Hari Guru di STF ialah pemilihan Guru Paling Popular yang dijalankan secara undian. (Ooo…tak perasan yang Mak Kecik belajar asas demokrasi di STF!) Yang Mak Kecik tak boleh lupakan ialah apabila Guru Paling Popular kami ( Mr. … apa namanya ye?) ditangkap polis kerana dituduh seorang komunis. Beliau adalah graduan segar dari Universiti Malaya dan dikatakan aktif dalam Persatuan Bahasa China di sana. Peristiwa ini terjadi pada tahun 1972, kalau tak silap. Apa jadi kepadanya sekarang?


Hari Guru menjadi penting semula kepada Mak Kecik bila anak-anak mula memasuki tadika. Sebagai suri rumah sepenuh masa, memang boleh untuk lepak-lepak bersama anak-anak tadika dan guru-guru mereka pada hari tersebut. Mak Kecik ingat Mak Kecik selalu memberi sumbangan makanan tetapi jarang memberi hadiah. Lokek juga ya!

Hari Guru menjadi sangat penting apabila Mak Kecik berkhidmat secara sukarela di Sekolah As-Syakirin. Sambutan Hari Guru 2002 adalah Hari Guru pertama yang Mak Kecik rancang dan kendalikan bersama ibu-ibu yang lain. Seperti biasa, apa-apa yang dilakukan dengan sepenuh jiwa dan raga pasti akan baik natijahnya. Menurut seorang guru, itulah sambutan Hari Guru yang terbaik yang pernah dialaminya sepanjang ia berada di Sekolah As-Syakirin. Bermula dengan acara rasmi di Dewan Sekolah disebelah pagi, ianya berakhir dengan acara padang di sebelah petang. Sambutannya disulami dengan pertandingan-pertandingan untuk pelajar-pelajar, permainan-permainan yang melibatkan gabungan tenaga guru-pelajar, sesi karaoke dan segmen permintaan lagu-lagu untuk guru-guru. Sehingga kini masih terngiang-ngiang di telinga dan terbayang-bayang di depan mata bagaimana gandingan Ustaz Khir, Ustaz Taufik dan Ustaz Khairul mendendangkan nasyid ‘Demi Masa’ dengan penuh bergaya. Tahun-tahun berikutnya, Mak Kecik kurang berperanan sebagai ibu tetapi lebih sebagai guru dan pengurus. Insya Allah, sambutan Hari Guru di tahun hadapan akan Mak Kecik berikan perhatian yang lebih.

Alhamdulillah, anak-anak Mak Kecik tidak mempunyai masalah dalam pembelajaran. Guru-guru pun selalu memberitahu yang sumbangan mereka terhadap kecemerlangan akademik anak-anak Mak Kecik adalah kecil kerana ‘mereka memang sedia pandai’. Mungkin itu betul tetapi ada aspek lain yang sumbangan mereka amatlah tidak ternilai dan sukar untuk Mak Kecik membalasnya. Di As-Syakirinlah, pertama kali Mak Kecik melihat anak Mak Kecik berjalan dengan gurunya meletak tangan di atas bahu anak Mak Kecik dan anak Mak Kecik pula memeluk pinggang gurunya. Kemesraan dan keakraban ini tidak pernah Mak Kecik lihat di sekolah-sekolah lain yang dihadiri anak-anak. Perkara ini menakjubkan kerana anak-anak Mak Kecik secara semula jadi adalah agak pemalu dan tidak pandai mencari / mencuri lampu sorot. Sebagai membalas jasa, apa yang Mak Kecik mampu buat hanyalah menggunakan kedudukan dan sedikit kuasa yang ada pada Mak Kecik untuk menjaga kebajikan dan kepentingan guru.


Mak Kecik akhiri tulisan ini dengan sebuah sajak yang telah Mak Kecik bacakan di As-Syakirin pagi tadi.


Melepaskan Burung Dari Sangkar Tergantung

Dan sangkar tergantung di anjung itu
menari-nari selepas engkau membuka pintunya
membebaskan burung terbang mencari pengertian baru
bersama sepotong fikir yang engkau bekalkan
untuk bicaranya pada alam
menjauh
sayup di ketinggian
dan engkau pun mengukir senyum
sementara menunggu sangkar baru
dan burung yang lain.

A. Rafar Mohd

Kuantan
Disember 1988

TERIMA KASIH DAN SELAMAT HARI GURU!

1 comment:

LightsOfHonesty said...

salam.

until now teachers day dekat stf mmg best =)