Thursday, May 22, 2008

Lonely, I am so lonely...



Mungkin lirik lagu ini tidak menggambarkan keadaan dan perasaan Mak Kecik dengan tepat tetapi pada dasarnya, 'lonely' atau kesunyian itulah yang menjadi kebimbangan. Apa yang mencetus kebimbangan ini?

Semalam, 3 orang anak Mak Kecik menyertai program perkhemahan sekolah di Chamang, Bentong, Pahang. Yang wajib pergi adalah anak-anak yang masih bersekolah di situ. Mak Kecik menyuruh kakaknya pergi sama. Kakaknya adalah bekas pelajar di situ. Kebetulan sekarang dia sedang bercuti. Di rumah pun kami asyik bertelingkah jadi lebih baik dia pergi membantu guru-gurunya di samping memerhati adik-adiknya. Perkhemahan tahun ini melibatkan bilangan terbesar iaitu lebih kurang 160 orang.

Sekarang yang ada di rumah hanyalah kucing-kucing. Mujur juga ada Ashley, 'baby' kucing yang masih lagi belum kuat kakinya dan perlukan perhatian dan jagaan. Mujur juga Pak Cik tak jadi ke Kuala Terengganu untuk petisyen pilihanraya.

Dalam iklim politik semasa, sememangnya Mak Kecik belum 'lonely' lagi tetapi keadaan sekarang menjadi petunjuk kepada keadaan di hadapan apabila anak-anak tidak lagi berpusat di rumah. Mak Kecik memang nampak keperluan untuk merancang. Dari segi aktiviti, memang banyak benda yang boleh dibuat tetapi itu semua hanya boleh dilakukan sekiranya tubuh badan sihat. Justeru Mak Kecik kena tumpukan kepada gaya hidup yang boleh meningkatkan kekuatan fizikal dan kesihatan.

No comments: